Belina Shop

Gengster taik kucing!

KAJANG: Biarpun baru berusia 14 tahun, sekumpulan enam pelajar layak digelar 'gengster junior' apabila berani menyerang dan memukul pelajar lain di hadapan seorang guru sedang mengajar di sebuah sekolah, kelmarin.

Lebih malang apabila pelajar yang dibelasah lebih 15 minit itu hanyalah individu yang cuba meleraikan pergaduhan berkenaan dan bukannya sasaran sebenar kumpulan terbabit.

Difahamkan, kumpulan itu menggunakan besi tali pinggang yang diikat pada tangan sebagai senjata membelasah mangsa menyebabkan dia mengalami kecederaan pada bahagian kepala.

Malah, mereka dikatakan sempat mempermainkan guru wanita yang membantu meleraikan pergaduhan dengan menghadiahkan satu 'ciuman terbang' kepadanya sebelum bertindak meloloskan diri dari sekolah berkenaan.


Tidak cukup dengan itu, pelajar terbabit mengumpulkan ahli kumpulan mereka yang lain dan menunggu mangsa di luar kawasan sekolah dipercayai untuk menyambung semula pergaduhan itu kerana masih tidak berpuas hati.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, kumpulan terbabit bertindak menyerang seorang pelajar yang juga pengawas sekolah terbabit selepas mangsa menegur mereka merokok di kawasan sekolah.

Menurut sumber, kumpulan terbabit menyelinap masuk melalui pintu belakang kelas itu sebelum mengeluarkan kata lucah dan cuba menyerang pelajar terbabit.

"Mereka langsung tidak mempedulikan kelibat seorang guru wanita sedang mengajar di dalam kelas berkenaan.

"Seorang pelajar cuba meleraikan pergaduhan itu menimbulkan kemarahan kepada ahli kumpulan terbabit sebelum membelasahnya.

"Kumpulan terbabit menggunakan tali pinggang yang diikat pada tangan menyebabkan mangsa cedera teruk pada bahagian kepalanya," katanya.

Sumber berkata, mangsa dibelasah lebih 15 minit biarpun kumpulan 'gengster' itu cuba dileraikan guru wanita berkenaan.

Akibat gagal meleraikan pergaduhan itu, guru wanita terbabit kemudian mengarahkan pelajarnya yang lain memanggil guru disiplin menyebabkan kumpulan berkenaan melarikan diri keluar dari sekolah berkenaan.

"Bagaimanapun, mereka sempat menghadiahkan 'ciuman terbang' kepada guru wanita terbabit sebagai tanda sagu hati selain berulang-kali mengugut membalas dendam kepada pengawas dan pelajar yang cuba mencampuri urusan mereka," katanya.

Bagaimanapun, pertelingkahan itu tidak selesai di situ saja apabila kumpulan terbabit dikatakan bertindak mengumpulkan ahli kumpulan mereka yang lain dan menunggu di luar kawasan sekolah berkenaan dipercayai untuk mencetuskan pergaduhan yang lebih besar.

Bimbang mengenai keselamatan mangsa, guru disiplin sekolah berkenaan menghantar kedua-dua pelajar malang itu ke rumah masing-masing.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Batu 9, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, mangsa yang cedera pada bahagian kepala dirawat sebagai pesakit luar di sebuah hospital berhampiran kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan namun enggan mengulas lanjut.

0 comments:

Post a Comment